Sunday, April 22, 2012

BESUT – Suasana sedih serta pilu menyelubungi majlis pertemuan Hari Raya antara keluarga dan penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) daerah Besut di sini hari ini.

Kebanyakan keluarga yang antaranya datang dari Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Terengganu tidak dapat melindungi kesedihan mereka apabila dapat bertemu insan yang dirindui.
Kebanyakan anggota keluarga yang datang turut membawa makanan, kuih-muih dan minuman untuk dihidangkan kepada orang yang dikasihi yang sedang menjalani rawatan di pusat itu.
Pengarah Puspen Besut Rohayu Ahmad yang ditemui Bernama pada majlis itu, berkata lebih 1,000 anggota keluarga hadir hari ini dan dijangka 500 lagi yang akan tiba esok.
Katanya buat masa ini terdapat 320 penghuni yang berumur 20 hingga 60 tahun sedang menjalani rawatan untuk tempoh tertentu mengikut tahap pemulihan mereka.
Beliau berkata kehadiran keluarga penghuni amat dialu-alukan kerana peranan mereka dalam membantu pusat itu memulihkan penghuni amat penting.
Selain mengadakan majlis Rumah Terbuka untuk Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, pusat itu turut memberi peluang keluarga bertemu penghuni setiap hari Ahad serta Isnin. – Bernama