Wednesday, November 3, 2010

Kertas siasatan kes P I Balasubramaniam ditutup

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara telah menutup

siasatan kes penyiasat persendirian S. Balasubramaniam kerana didapatipercanggahan dalam dua Akuan Berkanun tidak memberi kesan kepada perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
berkata siasatan kes bekas penyiasat persendirian itu telah dibuka di bawah
seksyen 199 Kanun Keseksaan.
"Setelah penelitian dibuat dan mengambil kira kesemua keterangan yang telah
dikumpulkan oleh pihak polis, Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan
untuk menutup siasatan kes ini kerana meskipun wujud percanggahan dalam dua
Akuan Berkanunnya, percanggahan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada
perbicaraan kes Altantuya. "Selain itu, individu berkenaan pula dipercayai masih berada di luar
negara," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Semasa sesi perbahasan sebelum ini, Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) dan Wee
Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) membangkitkan tentang tiada tindakan diambil
terhadap Balasubramaniam dan bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Muhamad Rahimi Osman.

Mohamed Nazri juga berkata Jabatan Peguam Negara juga telah
mengarahkan polis mendapatkan Akuan Berkanun pertama (yang asal) yang tidak ada
dalam milikan Muhamad Rahimi.
"Kertas siasatan kes ini telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara
untuk arahan lanjut pada 22 Oktober lepas. Walaubagaimanapun, setelh penelitian
dibuat dan mengambil kira kesemua keterangan yang telah dikumpulkan, Jabatan
Peguam Negara membuat keputusan mengembalikan kertas siasatan kepada pihak polis
pada 27 Oktober kerana intipati utama kes ini, iaitu Akuan Berkanun pertama
tidak ada dalam milikan Rahimi," katanya.
Pada 7 Oktober lalu, Muhamad Rahimi, 26, membuat satu laporan polis di Ibu
Pejabat Polis Daerah dengan ditemani seorang peguam.
Laporan polis itu berkaitan dakwaan Muhamad Rahimi bahawa beliau dipaksa
menandatangani surat akuan bersumpah pertama yang membabitkan tuduhan liwat
antara Anwar dan pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah hotel
di Shah Alam.
Satu lagi surat akuan bersumpah yang dipaksa ditandatangan melibatkan
kes fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri,
Datin Seri Rosmah Mansor di Old Town, Petaling Jaya.
Salah satu surat tersebut dipaksa ditandatangani dengan disaksikan peguam
Latheefa Koya. --