Monday, November 1, 2010

KDNK meningkat?? apa ulasan anda??


....Paling asas adalah menangani persoalan struktural yang telah terperangkap dalam satu model ekonomi berpendapatan rendah, berprestasi rendah di segi nilai tambah yang rendah dan produktiviti yang juga rendah. Bagaimanakah kerajaan mampu menjana ekonomi berpendapatan tinggi yang memilikki kegiatan ekonomi bernilai tambah tinggi sekaligus menghasilkan produktiviti yang tinggi?
Itu adalah model ekonomi yang dihajati negara untuk keluar dari perangkap modal lama. Ia tentunya perlu menggarap kegiatan bidang selain dari ekonomi seperti pendidikan dan latihan yang menghasilkan warga kerja dan buruh berkemahiran tinggi (supply-side economics) bersekali dengan mencapai pertumbuhan mapan dan lebihan bajet yang mampu dilaburkan bagi memacu pertumbuhan seterusnya.
Pemulihan ekonomi secara jangka-panjang dan mapan adalah jawapan kepada permasalahan ekonomi negara. Pastinya ’pemulihan’ atau ’recovery’ tidak hanya sekadar merujuk kepada perbandingan angka pertumbuhan dalam dua suku. Itu ’pulih’ secara ’teknikal’ sahaja.
Tambahan kalau ekonomi masih di belenggu dengan segala kegiatan yang tidak menghasilkan dayasaing atau ’competitiveness’ dengan polisi yang mengutamakan kroni, perlindungan industri yang tidak berdaya maju, monopoli, pemberian subsidi pada sasaran yang salah, pengurusan timpang yang tiris dan bocor yang sarat dengan amalan rasuah.
Kedua, kenaikan lebihan dagangan luar (external trade surplus) pada tahun 2009 sebanyak RM118.35bilion tidak diikuti dengan peningkatan sejajar simpanan asing (foreign reserve). Simpanan asing pada tahun 2009 menokok hanya USD5 bilion pada jumlah USD96.7bilion pada tahun Dis 2009 dari USD91.5bilion pada tahun Dis 2008.
Pakar-pakar ekonomi amat runsing dengan ketidaksejajaran atau kesenjangan ini yang sekaligus memaparkan bahawa di sana terdapat aliran keluar dana lebih banyak dari kemasukan dana ke dalam negara. Bank Negara Malaysia juga turut runsing dengan fenomena ini yang sekaligus mengisyaratkan ’kehilangan keyakinan’ pelabur terhadap ekonomi negara.
Dengan ekonomi yang telah sekian lama dipacu oleh perbelajaan kerajaan atau faktor ”G” dalam formula KDNK/GDP yakni KDNK= C + G + I + (X-M), di mana C- adalah Perbelanjaan (awam), G – perbelanjaan kerajaan, I – pelaburan swasta (luar dan dalam) dan (X-M) atau (Ekpsot – Impot), ia telah mengakibatkan defisit belanjawaan selama 13 tahun dan ke paras 7.4% bahkan ada yang menyebutkan sebagai 8% tahun 2009.
Justeru itu kerajaan tidak lagi mampu melakukan ’pengepaman’ atau ’pump-priming’ dalam menjana pertumbuhan. Hutang kerajaan Persekutuan tahun 2009 adalah ke tahap RM362bilion atau bersamaan 55.2% KDNK, berbanding RM306bilion pada 2008. (KDNK negara sekitar RM700bilion). Faktor ”G” tidak lagi mampu digunakan untuk menjana pertumbuhan KDNK kerana terbeban dgn hutang dan bakal menjejaskan ‘penarafan negara’ atau ‘sovereign rating’, sekaligus menjejaskan pelabaruan kerana tidak menarik sebab kos kewangan/pinjaman akan meningkat.
”I” seperti dalam KDNK ialah pelaburan swasta samada dari sumber luar atau asing dan tempatan. Sumbangan pelaburan swasta di negara kini hanya pada paras 10% berbanding lebih dari 30% dalam tahun 90an. Hakikat ini mesti diakui oleh kerajaan BN sekarang ini.
Kehilangan dayasaing negara telah meletakkan negara bukan sahaja gagal mengamit pelaburan asing langsung (FDI) bahkan sebaliknya mengalami aliran keluar dana tempatan sebanyak RM9.14bilion pada tahun 2007, RM26bilion pada tahun 2008 dan RM14.6bilion untuk 9 bulan dalam tahun 2009.
Fenomena pengaliran keluar dana tidak boleh lagi dihujjahkan sebagai pelabur tempatan mahu menyambut seruan menjadi pelabur global. Ketika kerajaan tidak lagi mampu memacu pertumbuhan dengan ”G” kerana melebarkan defisit, maka ”I” diperlukan. Namun ”I” tidak mampu memacu pertumbuhan kerana pelaburan swasta tidak dapat dijana. Kelembapannya akan menjejaskan penjanaan kerja, pelaburan dalam kegiatan ekonomi bernilai tinggi untuk merancakkan pencapaian ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan akhirnya pertumbuhan yang mapan.
Sementara itu model ekonomi negara yang bergantung kepada pendapatan sumber minyak dan gas sudah tidak lagi wajar dan tidak mapan (sustainable) kerana telah ke paras 45% dari seluruh pendapatan negara.
Akhir sekali, andainya inflasi terus meningkat kerana antara lainya, kenaikan cukai, seumpama kesan GST, penarikan subsidi seumpama bahan bakar, kenaikan tarif utiliti seperti elektrik, maka rakyat akan terus kehilangan kuasa membeli. Dengan itu peningkatan ‘C’ atau perbelanjaan akan turut terjejas.
Kesan  ini akan menjejas ‘demand side’ atau permintaan. Sedikit sebanyak faktor ’C’ atau perbelanjaan inilah, yang telah membantu peningkatan pertumbuan dalam suku akhir 2009. Namun sayugia dingatkan bahawa ‘gaji sebenar’ atau ‘real wages’ buruh atau ‘labour’ di negara ini hanya mengalami peningkatan sebanyak 2.6% mengikut Bank Dunia dalam 1994-2007. Dengan kata lain faktor ’C’, akibat dari ’gaji sebenar’ dan gaji ’boleh berbelanja’ (disposable income) yang tidak meningkat, akan mengekang pertumbuhan yang lebih rancak.
Kita beraleh kepada faktor (X-M) atau Ekspot tolak Impot. Lebihan dagangan telah penulis sebutkan di atas. Sememangnya kita adalah sebuah negara yang bergantung kepada ekspot. Itu tidak salah. Dan inilah juga yang memacu pertumbuhan dalam suku akhir tahun lalu ini secara signifikan. Tetapi sebaliknya pula, selama manakah produk-produk negara boleh terus berdayasaing, kalau kita terperangkap dengan nilai-tambah yang rendah dengan pelaburan swasta (I) serta ekonomi domestik mandom dan lembap?
Fikirkan. Mampukah kita melonjakkan dayasaing negara atau ‘competitiveness’ dalam mendepani persaingan global yang semakin sengit dan getir?