Friday, October 15, 2010

Buat Apa Pakai Tudung Kalau Hati Tak Betul

“Buat apa pakai tudung kalau hati tak betul”.
“Siapa kata orang tak pakai tudung semua jahat?”
“Ada seorang kakak tu pakai tudung, tapi perangai buruk, mengumpat sana mengumpat sini”.
Ungkapan-ungkapan begini kerap menjadi alasan sebahagian wanita untuk tidak menutup aurat. Ada juga beralasan demikian untuk menangguhkan dahulu pemakaian tutup aurat buat sementara waktu. Apabila dalaman sudah sempurna, dan hati sudah bersih, barulah sampai waktu untuk melakukan kewajipan lahiriah, seperti menutup aurat.
Kalau alasan begini keluar dari mulut seorang muslimah disebabkan kejahilan, ia sudah cukup menunjukkan satu musibah terhadap dirinya. Kerana kewajipan menutup aurat adalah perkara asas dalam Islam, yang termasuk kategori ‘perkara yang dimaklumi dalam agama secara pasti’.
Tetapi jika seorang muslimah beralasan demikian kerana berhelah dalam kata-kata, sedangkan dia tahu dosa mendedahkan aurat, maka ini adalah musibah yang sangat besar. Bak kata pepatah Arab, “Jika engkau tidak tahu, ia satu musibah. Tetapi jika engkau tahu, maka musibahnya lebih besar”.
Apakah jawapan untuk menjawab mereka yang mendedahkan aurat dengan beralasan demikian?
1- Alasan bahawa tidak perlu menutup aurat kalau hati masih tidak betul. Tunggu iman sudah sempurna barulah nak tutup aurat.
Kita mengambil contoh undang-undang jalan raya. Setiap penunggang motorsikal di atas jalanraya diwajibkan memakai topi keledar keselamatan. Peraturan ini hendaklah dipatuhi samada pengguna selesa memakai topi keledar atau tidak. Samada dia memakai secara ikhlas mematuhi peraturan atau kerana terpaksa.
Seorang pesalah yang berdepan saman trafik kerana tidak memakai topi keledar, bolehkah dia memberi alasan dia tidak selesa memakainya, ataupun dia masih tidak setulus hati memakainya? Kalau hatinya sudah ikhlas mematuhi peraturan kerajaan, dia akan memakainya satu hari nanti. Adakah boleh diterima alasan demikian?
Begitu juga pemakaian tutup aurat adalah satu undang-undang ketetapan Allah Taala atas setiap mukallaf, tanpa mengambil kira tahap imannya. Tanpa mengira tahap keikhlasan dan ketulusan hatinya. Setiap orang yang bergelar muslim dan muslimah wajib menerimanya samada suka atau tidak, rela atau terpaksa. Hati bersih atau tidak, bukan alasan untuk meninggalkan kewajiapan menutup aurat.
2- Alasan bahawa walaupun dia mendedahkan aurat, tetapi dia menjaga maruahnya, tidak melakukan perkara yang tidak senonoh.
Sekali lagi kita mengambil contoh seorang penunggang motorsikal yang tidak memakai topi keledar keselamatan, kononnya dia seorang yang cermat di jalan raya. Tidak menunggang laju, apatah lagi melanggar lampu isyarat merah. Pada perkiraannya tidak mungkin berlaku kemalangan. Adakah alasan demikian diterima untuk mengecualikannya daripada peraturan topi keledar keselamatan?
Tidak sekali-kali. Walaupun dia mendakwa bahawa dia cermat, adakah dia boleh menjamin pemandu-pemandu kenderaan lain juga sepertinya? Betapa ramai pengguna jalan raya terkorban bukan kerana kesalahan dirinya, tetapi akibat kecuaian pemandu lain di hadapan atau belakangnya.
Begitu juga kalau ada wanita mendakwa bahawa hatinya suci, imannya tinggi, amalannya soleh dan maruahnya terjaga. Kononnya ia sudah cukup menjamin keselamatan diri dan maruahnya, tanpa perlu menutup aurat. Atau mendakwa bahawa mendedahkan aurat tidak akan menyebabkan dia melakukan jenayah lain.
Tetapi adakah dia berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat auratnya mempunyai hati sesuci hatinya dan iman setinggi imannya juga? Langsung tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka yang berada di hadapan dan belakangnya?
Jadi, perlu diberi kefahaman bahawa kewajipan wanita menutup aurat bukanlah semata-mata untuk menjaga maslahat dan maruah pihak wanita itu sendiri, tetapi maslahah yang lebih besar ialah menjaga masyarakat yang berada di sekelilingnya agar tidak terfitnah disebabkan budaya mendedahkan aurat.
Betapa banyak kes-kes jenayah rogol dan cabul berpunca daripada wanita sendiri yang mempamerkan tubuh badannya yang terdedah di hadapan khalayak lelaki. Maka tutuplah aurat bukan sekadar untuk anda, tetapi juga demi kemaslahatan orang lain di sekeliling.
Kesimpulannya, pemakaian menutup aurat adalah wajib atas setiap muslim dan muslimah, tanpa mengira tahap iman dan ikhlasnya. Dan Kewajipan wanita menutup aurat bukan setakat bagi memelihara maruahnya, tetapi bagi menjaga kemaslahatan masyarakat sekelilingnya.
Sekian.

Sebelum Beramal dan Berucap, Tuntutlah Ilmu…

Bagaimana dapat dipastikan satu-satu amalan itu dilakukan sempurna dan betul, andai pelakunya tidak mempunyai ilmu tentang amalan yang mahu dilakukan.
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah menegur sahabat yang berwudhuk dengan tidak menyempurnakan basuhan air ke kaki. Baginda bersabda, “Azab seksaan dan kebinasaan bagi tumit-tumit kaki tersebut”.
Riwayat Bukhari (no: 60), dan Muslim (no: 241).
Amalan yang dilakukan jika tidak menepati sunnah, tidak berlandaskan ilmu, ia tidak diterima oleh Allah Taala. Lebih dahsyat, bukan pahala yang diperoleh, dibimbangi azab seksaan yang menanti di sana.
Justeru, menuntut ilmu sebelum membuat amalan adalah kewajipan setiap muslim, tanpa pengecualian. Amat wajar guru sekalian ulama hadits, Imam Bukhari di dalam kitab Sahihnya, membikin sebuah bab bertajuk ‘Ilmu Sebelum Pertuturan dan Perbuatan’.
Dalilnya, kerana Allah Taala dalam Al-Quran, menyebut:
Maksudnya: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)” (Muhammad: 19)
Perhatikan susunan pada ayat tersebut, bagaimana Allah Taala mendahulukan arahan supaya mengetahui, sebelum menyebut arahan supaya beristighfar kepadaNya. Sifir mudahnya, ilmu mesti didahulukan sebelum perkataan dan perbuatan.
Demikian dalil al-Quran tentang perlunya ilmu sebelum amal. Apakah alasan logiknya pula? Rasionalnya, kerana setiap amalan tidak diterima Allah kecuali jika ia menepati syariat yang diturunkan. Dan tidak mungkin seseorang muslim dapat mengetahui syariat Allah, kecuali dengan menuntut ilmu. Natijahnya, wajib menuntut ilmu sebelum membuat amalan.
Akibat amalan ibadah tanpa ilmu, tersesatnya golongan Nasrani. Ibadah mereka kuat, perasaan kasih sayang mereka mendalam, dan dihiasi pula dengan rahbaniyyah yang mereka ada-adakan. Tetapi sayang, mereka tiada cakna terhadap ilmu. Lantas menjadi golongan yang menyeleweng dan sesat.
Kerana ibadah tanpa sandaran ilmu jualah, terpesongnya sebahagian pentaksub amalan tarekat batiniyyah. Lain yang disabda, lain pula yang dibuat. Yang disabda ditinggalkan, konon ia amalan orang awam. Tidak sesuai diamalkan oleh golongan khawass. Yang diamalkan pula, ada pula tokok tambahnya. Puncanya, amalan tanpa pengetahuan.
Oleh yang demikian, tuntutlah ilmu supaya amalan yang dilakukan diterima Tuhan. Jangan terikut-ikut resam orang Nasrani, amal ibadatnya banyak, tetapi ilmunya sedikit

Kisah Alqamah: Antara Kemasyhuran dan Fakta

Setiap kali sambutan Hari Ibu, seringkali kedengaran samada di radio atau televisyen satu kisah yang sangat masyhur, iaitu kisah Alqamah dan ibunya. Tidak ketinggalan pada tahun ini, dalam beberapa rancangan televisyen khasnya berbentuk keagamaan, kisah Alqamah dan ibunya turut menjadi bahan pengisian beberapa ustaz dan ustazah.
Ringkasan cerita Alqamah dan ibunya ialah, pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ada seorang pemuda berada dalam keadaan nazak. Malangnya, beliau tidak mampu mengucapkan dua kalimah Syahadah, sekalipun telah berulangkali diajar dan dituturkan di telinganya. Kes ini diadukan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ringkas ceritanya, baginda meminta ibu pemuda tersebut memaafkan dan meredhai terhadap anaknya, Alqamah. Selepas si ibu meredhai anaknya, Alqamah, barulah beliau dapat mengucapkan dua kalimah Syahadah dan sejurus selepas itu, beliau wafat.
Namun pernahkah kita berfikiran kritis, untuk mempersoalkan sejauh manakah kesahihan cerita masyhur ini, yang kita baca dan dengari sejak di bangku sekolah rendah lagi. Dari sumber manakah cerita ini datang, dan apakah penilaian para ulama Islam terhadap cerita ini, berdasarkan metodologi ahli hadis.
Sumber Cerita Alqamah dan Ibunya
Antara kitab hadis utama yang menyebut kisah ini ialah, Musnad Imam Ahmad bin Hanbal. Tetapi hanya disebut secara ringkas tanpa menyebut nama pemuda tersebut. Tersebut dalam Musnad Ahmad:
Berkata Abu Abdul Rahman (Anak Imam Ahmad): Pada awalnya terdapat dalam kitab ayahku (Imam Ahmad), hadis yang berbunyi: Telah meriwayatkan kepada kami oleh Yazid bin Harun, katanya: Telah meriwayatkan kepada kami oleh Faid bin Abdul Rahman, katanya: Aku mendengar Abdullah bin Abi Aufa berkata:
“Seorang lelaki datang menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, lalu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya di sini terdapat seorang pemuda yang sedang nazak. Diucapkan kepadanya Lailahaillallahu, beliau tidak mampu menyebutnya”. Baginda berkata, “Tidakkah ketika hidupnya, dia boleh menuturkannya?”. Kata lelaki itu, “Benar”. Baginda bertanya, “Apa yang menghalangnya daripada menyebutnya ketika hampir mati?”. Lalu beliau menyebut hadis itu secara panjang lebar.”
Kata Abu Abdul Rahman: Ayahku (Imam Ahmad) tidak meriwayatkan kepada kami hadis ini. Beliau memadamkan hadis ini dari kitabnya, kerana beliau tidak meredhai hadis Faid bin Abdul Rahman, kerana pada pendapatnya Faid bertaraf Matruk al-Hadis.
(Musnad Ahmad 32/155)
Maka jelas kepada kita walaupun kisah ini wujud dalam Musnad Ahmad, tetapi sebenarnya Imam Ahmad sendiri tidak menerima kesahihan hadis ini. Bahkan, beliau memadamkan hadis ini dari kitabnya.
Antara sumber lain yang menyebut kisah ini ialah:
- Al-Dhuafa al-Kabir oleh al-Uqaili
- Al-Maudhu’aat oleh Ibn al-Jauzi
- Masawi al-Akhlaq oleh al-Kharaiti
- Syuab al-Iman oleh al-Baihaqi
- Dalail al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi
- Al-Tadwin Fi Tarikh Qazwin oleh al-Qazwini
Kesemua sumber-sumber tersebut menyebut kisah ini melalui jalur yang terdapat perawi bernama Faid bin Abdul Rahman. Justeru, penilaian hadis ini mesti melalui kajian kedudukan perawi bernama Faid bin Abdul Rahman, adakah beliau perawi yang kepercayaan dan menepati kriteria perawi hadis sahih, atau sebaliknya.
Rata-rata ulama hadis yang mahir dalam bidang Jarh wa Ta’dil (ilmu penilaian terhadap perawi), menilai Faid bin Abdul Rahman sebagai dhaif. Antara mereka ialah Imam Ahmad, Imam Bukhari, Ibn Maien, Abu Hatim, Ibn Hibban, al-Hakim, dan lain-lain.
Apatah lagi, kisah ini diriwayatkan oleh Faid bin Abdul Rahman daripada Ibn Abi Aufa. Dan ulama hadis lebih mencurigai hadis-hadis Faid yang diriwayatkan daripada Ibn Abi Aufa.
Kata Abu Hatim, “Hadis-hadis Faid daripada Ibn Abi Aufa adalah batil, hampir-hampir tidak ada asal baginya”. Katanya lagi, “Kalau seseorang bersumpah bahawa seluruh hadis Faid adalah bohong, maka dia tidak dianggap melanggar sumpah”.
Al-Hakim pula mengatakan, “Faid meriwayatkan daripada Ibn Abi Aufa hadis-hadis palsu”.
Penilaian Ahli Hadis Terhadap Kisah Ini
Kisah ini didhaifkan oleh ramai ahli hadis, antara mereka:
- Imam Ahmad, sebagaimana disebut oleh anaknya.
- Al-Uqaili di dalam al-Dhuafa al-Kabir. Katanya, “Tidak ada mutabaah untuknya kecuali dari perawi yang sama taraf dengannya”.
- Al-Baihaqi dalam Syuab al-Iman. Kata beliau, “Diriwayatkan secara berseorangan oleh Faid Abu al-Warqa’, dan beliau perawi yang tidak kuat”.
- Ibn al-Jauzi memasukkan hadis ini dalam bukunya al-Maudhu’aat, dan membuat komen, “Tidak sahih daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam”.
- Al-Zahabi dalam kitabya Tartib al-Maudhu’aat.
- Al-Haithami dalam Majmak al-Zawaid. Beliau berkata, “Padanya terdapat Faid Abu al-Warqa’, seorang yang bertaraf Matruk”.
- Al-Syaukani dalam Al-Fawaid al-Majmuah. Kata beliau, “Dalam sanadnya terdapat perawi yang berstatus Matruk dan Pembohong”.
Penilaian kisah ini disebut secara terperinci oleh Syeikh Masyhur bin Hasan Ali Salman dalam kitabnya ‘Qishas La Tatsbut.
Kesimpulan
- Berdasarkan kajian ulama hadis terhadap hadis ini, didapati bahawa hadis yang mengisahkan cerita Alqamah dan ibunya adalah DHAIF.
- Di samping kedhaifan kisah ini, tidak ada dalam mana-mana riwayat pun menyebut bahawa pemuda berkenaan bernama Alqamah.
- Oleh kerana kisah ini tidak sahih, dan kisah ini ada kaitan langsung dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka tidak harus disebarkan cerita ini tanpa dijelaskan kedhaifannya.
- Para penulis, penceramah, panel-panel syarahan digalakkan membawakan cerita yang lebih sahih tentang kewajipan berbuat baik terhadap ibu. Dan Alhamdulillah, di dalam Al-Quran dan Sunnah yang sahih, banyak kedapatan dalil dan contoh yang boleh menggantikan kisah Alqamah

Wednesday, October 13, 2010

terkilan sikap tidak hormati golongan kurang bernasib baik

Peristiwa ini berlaku beberapa bulan yang lalu.
Kebetulan penulis mempunyai urusan di sebuah majlis pengagihan bantuan kepada penerima bantuan bulanan JKM.
Satu peristiwa yang pada pandangan penulissepatutnya tidak berlaku. di mana letaknya hormatnya kita kepada golongan kurang bernasib baik.

Pada tengah hari pengagihan bantuan. Terdapat dua tempat jamuan makan disediakan pihak penganjur iaitu di bawah (garaj ) dan bersebelahan kanopi pengagihan duit bantuan. Penulis yang berada di bawah (garaj) tersentuh hati apabila seorang warga emas yang sudahpun meletakkan nasi ke dalam pinggan dan sedang mengambil gulai dihalang oleh seorang wanita lingkungan lewat 30-an yang memang penulis kenal adalah seorang kakitangan kerajaan (Pengelola makanan bukan kakitangan JKM) di daerah Dungun. Penulis melihat warga emas itu sempat mengambil sebelah tulur masin untuk dimakan bersama sepinggan nasi. Apa yang penulis faham kebanyakan orang ramai termasuk penulis tidak tahu bahawa ruangan bawah garaj itu hanyalah untuk orang-orang tertentu sahaja. Yang penulis tidak puas mengapa dihalang warga emas itu mengambil sesenduk gulai.....sanggup melihat orang yang sepatutnya dirai makan nasi dengan telur masin sebelah...  dari raut air muka penulis tahu dia sedih..namun disimpan di sudut hati...
     Berbagai persoalan timbul. siapa yang mahu dirai di majlis itu bukankah penerima bantuan .. Kalau penulis yang  terbuku di hati apatah lagi warga emas itu.....

Berita Harian Online | Timur: Baiki rumah rosak

Berita Harian Online | Timur: Baiki rumah rosak

Lepas 11 das tembakan, gagal merompak di Sura Gate

Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
DUNGUN: Tindakan nekad seorang lelaki bersenjatakan pistol untuk merompak kedai emas Kwang Yao di Lot 3385, Tingkat bawah, Jalan Sura gate kira-kira jam 5.10 petang dengan melepas 11 das tembakan gagal apabila tembakannya itu gagal memecah kotak kaca pameran.

Seorang pekerja yang dikenali sebagai Jayana berkata, beliau dan tiga rakan sekerja tergamam apabila didatangi seorang lelaki yang mengacu pistol sambil menggertak mereka membuka kotak kaca pameran barang kemas.

Tidak engendahkan arahan perompak mereka menyelamatkan diri ke bahagian dalam kedai.

Suspek bertopeng yang berang mencuba memecahkan kotak kaca pameran dengan melepaskan tembakan namun gagal dan melarikan diri ke arah belakang bangunan kedai.

Seorang bapa yang enggan dikenali datang menjemput anak beliau yang bekerja di kedai barang kemas itu nyaris-nyaris melayang nyawa apabila diacu pistol dalam jarak kurang satu meter.

Timbalan Polis Dungun, DSP Ismail Abdullah, berkata melalui rakaman cctv dan siasatan dilakukan didapati suspek datang seorang ke kedai berjalan kaki dan melarikan diri ke bahagian belakang bangunan.

“Suspek melepas11 das tembakan untuk memecah kotak pameran kaca berdasarkan penemuan kelongsong yang bertaburan di atas lantas.

Caption:
7152: kelongsong bertaburan di lantai kedai mas di jalan sura gate yang cuba dirompak petang semalam