BACHOK 10 Sept — Tuduhan sesetengah pihak kononnya cukai perkhidmatan 6 peratus yang akan dikenakan ke atas pembelian tambah nilai prabayar, pek atau kad SIM adalah untuk UMNO membiayai pilihan raya umum kelak, amat tidak bertanggungjawab.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali dan tiada kaitan langsung dengan pilihan raya.
“Ia satu tuduhan melulu dan tidak waras,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Tangok, di sini, hari ini.
Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yakin syarikat-syarikat berkenaan akan mengambil tindakan bijak sesuai dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan pihak terbabit menimbang semula keputusan itu.
Katanya, jika cukai itu tidak dikenakan ka atas pengguna, syarikat-syarikat berkaitan masih mampu meraih keuntungan.
Awang Adek berkata, jika syarikat-syarikat terbabit menyahut saranan Perdana Menteri itu, mereka bukan sahaja dapat membantu kerajaan merangsang ekonomi negara tetapi juga akan disanjungi pengguna.
"Jika berlaku sebaliknya mereka seolah-olah membelakangi kerajaan,” katanya. — Bernama