KUALA TERENGGANU 16 Dis. - Kerajaan negeri bercadang untuk membangunkan semula kawasan lombong biji besi di Bukit Besi, Dungun berikutan penemuan biji besi baru di situ.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengesahkan perkara berkenaan berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan melakukan kajian peringkat kedua berhubung penemuan baru biji besi itu selepas kajian pertama selesai dijalankan."Kajian pertama telah tamat, kajian selanjutnya akan dilakukan berdasarkan maklumat mengenai penemuan biji baru di kawasan itu," katanya ketika menjawab soalan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Ahmad memberitahu, usaha membangunkan semula kawasan perlombongan tersebut akan diuruskan oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.
Buat masa ini, jelasnya, kerajaan negeri masih menunggu laporan hasil kajian selanjutnya daripada Jabatan Mineral dan Geosains sebelum memutuskan kerja membangunkan semula kawasan perlombongan itu sama ada secara persendirian atau usahasama dengan pihak lain.
"Kita belum muktamad lagi sama ada kena buat persendirian atau usahasama. Kita perlu tunggu jumlah sebenar dari segi deposit yang melibatkan kos besar, dan kerja-kerja bangunkan semula lombong ini akan dilakukan tiga buah syarikat," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad turut yakin usaha kerajaan membangunkan Tasik Kenyir sebagai Pulau Bebas Cukai menjelang Ogos 2012 nanti mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negeri ini.
Beliau memberitahu, sejurus bergelar status Pulau Bebas Cukai kelak, ia berupaya bukan sahaja menyediakan pelbagai peluang pekerjaan malah menjana pendapatan ekonomi negeri dari sudut pelancongan.
Menurutnya, pada masa ini, kerajaan giat berusaha membuat persiapan termasuk memasang kabel sepanjang kira-kira 23 kilometer dari Kuala Ping ke Pulau Bayas selain kerja-kerja menebang pokok dekat pulau berkenaan sedang dilakukan.
"Apabila laksanakan pembangunan, rakyat akan dapat peluang pekerjaan, pelancong pun ramai datang dengan Pangkalan Gawi sebagai pintu masuk yang dilengkapi kemudahan jeti dan sebagainya," katanya semasa menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang).