PETALING JAYA 23 Jan. - Polis tidak menolak kemungkinan Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang hilang sejak dua minggu lalu sudah diubah fizikalnya supaya wajahnya sukar dikenali.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, rambut kanak-kanak itu mungkin sudah digunting menyebabkan wajahnya berbeza dengan gambar poster yang diedarkan kepada orang ramai.Beliau berkata, penculik mungkin berbuat demikian untuk mengaburi usaha pihak berkuasa dan orang ramai menjejaki kanak-kanak itu yang hilang di Taman Medan di sini sejak pukul 11.30 pagi, 9 Januari lalu.
''Mungkin perubahan itu dilakukan ke atas kanak-kanak itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.
Sebelum ini, mayat Nurin Jazlin, murid tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak di sini ketika ditemui juga telah diubah bentuk fizikalnya.
Rambutnya dipendekkan dan bulu kening mata dinipiskan sehingga mayat kanak-kanak perempuan tersebut berbeza dengan dirinya.
Sementara itu Arjunaidi menambah, setakat ini belum ada petunjuk baru mengesan Sharlinie.
Namun, katanya, polis tidak putus asa sebaliknya akan tetap melakukan pemeriksaan berdasarkan maklumat orang ramai terhadap setiap rumah yang mencurigakan.
''Antara usahanya ialah kira-kira 1,000 buah rumah di sekitar daerah itu diperiksa setiap hari dan pemeriksaan itu akan dilakukan secara berulang dan berterusan.
"Bagaimanapun, sepanjang misi pemeriksaan di setiap rumah tersebut, polis tidak menemui bukti yang boleh dikaitkan dengan Sharlinie disembunyikan di situ," ujarnya.
Arjunaidi berkata, tindakan memeriksa dari rumah ke rumah itu turut merangkumi beberapa rumah kongsi pekerja asing di PJS 1, 2 dan 3, iaitu kira-kira empat kilometer dari rumah mangsa di Taman Medan.
Tambahnya, walaupun penduduk di sekitar Petaling Jaya mencecah 1.6 juta orang namun penghuni daerah itu termasuk Rukun Tetangga (RT) memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam misi mencari Sharlinie.
Mengenai dakwaan pengamal perubatan tradisional bahawa Sharlinie masih berada di sekitar Taman Medan, Arjunaidi berkata, ia adalah pandangan pihak tertentu dalam mengesan kanak-kanak tersebut.