Monday, November 1, 2010

Bakal haji parlimen dungun dirai,

Oleh Mohd Zawawi Mat Ail

DUNGUN:   Penganjuran sesuatu majlis secara bergotong royong sudah semestinya mengeratkan hubungan antara ahli masyarakat apatah ianya melibatkan penglibatan ramai pihak.
                Lebih 10, 000 orang dari empat DUN iaitu Paka, Bukit Besi, Sura dan Rantau Abangmenghadiri majlis jamuan aidilfitri perdana Parlimen Dungun yang dianjurkan bersama Pejabat Parlimen Dungun, Pejabat Penyelaras Dun Paka dan Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Paka di Padang Cahaya Kuala Paka.
                Tujuh ekor lembu diagihkan kepada tujuh buah kampung Dun Paka iaitu Kampung Baru B1, Felda Kerteh 2, Feda Kerteh 4A, Felda Kerteh 3, Felda Kerteh Sri Aman, Kampung Santong untuk dijadikan juadah yang disiapkan secara bergotong royong di kampung masing-masing.
Sementara itu penduduk Kampung Kuala Paka pula berperanan  mengurus persiapan tapak iaitu memasang kanopi dan sebagainya.
                Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKK) Kampung Kuala Paka, Mohd Mokhtar Yusoff, 54, berkata tiga hari sebelum majlis diadakan beliau telah bermesyuarat dengan ahli jawatankuasa kampung membuat pembahagian tugas supaya kerja-kerja persiapan tapak dapak berjalan lancar.
                “Alhamdulillah kami penduduk Kampung Kuala Paka berjaya menjalankannya dan berasa senang hati dapat menyumbang tenaga menjayakan majlis ini,” katanya.
                Pengerusi JKKK Felda Kerteh 3, Ghozali Mamat, berkata beliau bersama penduduk kampung seawall jam 7 pagi mula menjalankan kerja memasak daging lembu yang siap dilapah setelah disembelih pada petang sehari sebelum majlis diadakan.
                “Pada jam 9 pagi penduduk dari tujuh buah kampung terlibat sudah siap bersedia melayan para tetamu yang tidak putus-putus berkunjung hinggalah sehingga gulai habis jam 3 petang.
                Sementara itu, Pengerusi JKKK Felda Sri Aman, Alias Mamat, berkata beliau berbangga kerana pihak pejabat parlimen memilih Dun Paka penganjuran majlis Jamuan Aidilfitri Perdana pada tahun ini yang dijalankan secara bergotong royong.
                Kampung beliau yang turut terpilih sebagai salah sebuah kampung yang terpilih menyiapkan juadah berharap penganjuran majlis secara bergotong royong sebegini perlu diteruskan untuk tahun-tahun yang akan datang kerana ianya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan di kalangan masyarakat.
Pada majlis yang sama bakal-bakal jemaah haji parlimen Dungun yang berdaftar dengan Tabung Haji seramai 285 orang dirai dengan mengagihkan sumbangan kain ihram kepada bakal haji lelaki dan kain sembahyang kepada bakal haji perempuan yang disampaikan oleh Ahli PArlimen Dungun, Mathulidi Jusoh.
                Majlis yang bermula jam sembilan pagi hingga tiga petang itu turut dihadiri Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja , Datok Abd. Kadir Sulaiman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Datok Zaabar Datok Mohd Adib; ADUN Paka, Mohd Ariffin Abdullah dan Ahli Parlimen Dungun, Mathulidi Jusoh  serta ketua-ketua Jabatan Kerajaan daerah Dungun. ends