Monday, November 1, 2010

UiTM Cawangan Dungun lancar TTRC dan UTA

Oleh Mohd Zawawi Mat Ail

DUNGUN:   Sambutan hari pelancongan sedunia bertema 'tourism and biodiversity' yang disambut meriah UiTM Cawangan Dungun dengan penganjuran pelbagai acara ternyata lebih bermakna kdengan pelancaran Terengganu Tourisme Research Centre (TTRC) dan UiTM Terengganu Ambassador (UTA).
                Penubuhan TTRC ialah salah satu inisiatif UiTM Cawangan Dungun sendiri melalui Fakulti Pengurusan Hotel dan Perlancongan bagi menyediakan satu platform kepada ahli akademik, penyelidik bersama-sama bekerjasama menjalankan penyelidikan ke arah memajukan lagi industri perlancongan khususnya di negeri Terengganu.
                Pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Maisarah Abd Hamid, berkata TTRC  memain peranan sebagai saluran untuk mengadakan konvensyen bagi membentang kertas-kertas kerja berkaitan pelancongan yang hasilnya akan dihimpunkan serta berfungsi menjadi sumber rujukan para penyelidik.
                “Sesiapa yang berminat untuk mengetahui dengan lebih dekat berkaitan perlancongan akan dapat memanfaatkan TTRC kerana kita merancang menghimpunkan jurnal-jurnal dan hasil penyelidikan untuk dikongsi bersama.
                Sementara itu Pengarah Kampus UiTM Dungun, Prof. Madya Tengku Yusoff Tengku Mahmud, berkata UiTM Cawangan Dungun adalah satu-satunya universiti yang mengadakan program UTA di Malaysia dan ianya diwujudkan dengan tujuan memberi peluang kepada para pelajar yang terpilih menimba pengalaman menjadi seorang duta bagi sesebuah organisasi.
                “Mereka perlu menjalankan tugas sebagai duta kampus yang diantaranya mengurus kunjungan tetamu yang datang ke kampus ini apabila kampus mengadakan karnival, konvokesyen dan sebagainya.
                “Sebelum ini pelajar-pelajar UiTM jurusan Hotel dan perlancongan banyak menerima jemputan pihak luar bagi bersama-sama menjayakan program besar seperti pertandingan perahu layar Monson Cup dan sebagainya, maka selepas ini pelajar-pelajar terpilih inilah yang akan ke sana sebagai duta UiTM.
                “Kita membuat beberapa kali temuduga kepada para pelajar yang berminat dengan mengenakan beberapa criteria utama yang diantaranya mereka mestilah berkemahiran berkomunikasi dalam tiga bahasa dengan fasih.
                “Daripada 30 pelajar falkulti hotel dan perlancongan yang berminat, 15 pelajar telah layak bergelar duta sulong UiTM Cawangan Dungun.
                Pelajar terpilih, Nurazimah Aini Hamzah, 20, berkata beliau tidak menyangka terpilih menjadi duta kampus namun beliau akan mencuba sebaik yang mungkin terutamanya menjadikan UiTM lebih dikenali masyarakat sebagai sebuah universiti yang terbaik.
                Pelajar semester 3, Mohd Arif Akmal, 20, berkata beliau akan menggunakan peluang yang diberikan untuk menimba pengalaman yang sudah tentu menjadi nilai tambah kepada beliau apabila berada di alam pekerjaan.
                “Saya amat teruja apabila mendapat tahu nama saya tersenarai sebagai duta UiTM Cawangan Dungun ini kerana pelajar-pelajar yang menghadiri temuduga semuanya hebat-hebat semuanya dan sebagai duta saya sudah semestinya akan menjaga nama baik universiti dengan menjalankan tugas sebaik yang mungkin.
                Pelancaran TTRC dan perlantikan duta UiTM disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisabn Negeri, Datuk Abd. Rahin Dato Mohd Said di Dewan Aspirasi UiTM Cawangan Dungun.
                Turut mengisi program sambutan hari pelancongan dunia itu ialah pembentangan kertas kerja berkaitan pelancongan yang turut dibentangkan oleh Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani manakala pada sebelah malam pula sambutan dihangatkan dengan pertandingan tarian kebudayaan.
                Lebih 500 peserta mengikuti pembentangan kertas kerja yang terdiri daripada pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan sendiri, pelajar dua buah sekolah angkat UiTM Dungun serta pelajar Kolej Teknologi Bestari yang mengikuti program kawal selia UiTM Dungun.ends.