Monday, November 1, 2010

Tunjuk bukti sebelum tuduh: Azhar

KEPALA BATAS: Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, mahu pakatan pembangkang menunjukkan bukti berhubung tuduhan mereka yang mengatakan UMNO menyebarkan gambar Ketua Menteri, Lim Guan Eng, menyembelih seekor lembu dalam satu majlis Beliau yang juga ketua pembangkang menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengetahui mengenai gambar yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan dan menegaskan bahawa itu bukan cara UMNO untuk mendapatkan populariti.

"Tuduh menuduh ini bukan cara kami, kalau benar gambar itu UMNO yang buat, tunjukkan bukti. Mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu lain bagi menutup kesalahan sendiri juga bukan kerja UMNO, ini kerja pakatan pembangkang," katanya di sini hari ini.

Azhar berkata demikian kepada pemberita ketika diminta memgulas tuduhan parti pembangkang bahawa UMNO telah menyebarkan gambar Lim sedang menyembelih lembu yang dilihat sebagai tidak menghormati sensitiviti agama.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian dermasiswa kepada 110 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sumbangan hari raya kepada 300 penerima oleh bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Seri Endon, Pusat Budi Penyayang di sini, hari ini.

Azhar juga menyerahkan perkara itu kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mencari kebenaran dan membuat tafsiran.