Sunday, November 21, 2010

Dialog serlah fikiran bernas

Oleh: Mohd Zawawi MAt Ail

DUNGUN: Majlis Dialog Industri anjuran Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) kali kelapan bertema 'Kebolehan Pasaran Pelajar Politeknik Antara Memilih atau Keperluan' menjadi medan percambahan bernas fikiran antara warga kampus, peserta industri dan masyarakat setempat.


Ahli panel terdiri daripada tokoh industri dan akademik iaitu Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Timur, Zulkifly Mohd Ismail; Pengurus Besar YTL Power Services Sdn Bhd, Mohd Azmi Jusoh dan Pengarah Bahagian Perhubungan Industri, Pengesanan Graduan & Alumni Politeknik, Tung Chee Kuan.
Majlis Dialog anjuran Unit Perhubungan & Latihan Industri (UPLI) dipengerusikan Ketua Unit UPLI PSMZA, Abu Bakar Zakaria, bertujuan memperjelas aspek kebolehan pasaran.
Mengulas mengenai sikap proaktif syarikat korporat berkenaan untuk dekat dengan masyarakat termasuk dengan pelajar institusi pengajian tinggi, Abu Bakar berkata, berkata program itu menjadi satu platform untuk PSMZA mengeratkan hubungan dua hala dengan syarikat.

Pelajar Diploma Mekanikal Plastik, Kamarul Ahmad Salim, 20, berkata program dialog memberi banyak input berguna kepadanya untuk menempuh pekerjaan.
selepas tamat pengajian nanti.

“Ia menambah pengetahuan serta membantu saya membuat persiapan bagi mengikuti sesi latihan industri bermula Disember ini," katanya.
Rakannya, Nasarudin Abdul Aziz, 20, berkata bukan mudah untuk pelajar dan masyarakat sekitar mendengar taklimat mengenai operasi daripada syarikat terkemuka seperti PETRONAS dan YTL Power.

"Menerusi dialog ini, kita tahu mengenai persediaan dan kemahiran yang perlu untuk menyertai mereka,” katanya.

Sementara itu, Zulkifly berkata, pengurusan IPT, pelajar dan masyarakat perlu mengambil peluang daripada program bagi memahami dengan lebih mendalam bidang kursus dipelajari.

"Kita sentiasa terbuka untuk menerima lawatan penduduk setempat atau pelajar institusi pengajian tinggi ke tapak operasi kami bagi meningkatkan persefahaman dan peranan yang dimainkan kedua-dua pihak," katanya