Monday, November 22, 2010

Zambry menang kes saman fitnah terhadap Suara Keadilan

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menang kes saman fitnah RM100 juta terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga pihak lain. Nilai ganti rugi akan ditentukan mahkamah.

Menteri Besar Perak itu memohon untuk memasukkan penghakiman mengikut Aturan 27 (Peraturan 3) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 berikutan pengakuan defendan-defendan dalam pernyataan pembelaan mereka.
Pada 25 Februari lalu, Zambry memfailkan saman fitnah menamakan Dr Wan Azizah selaku pemegang jawatan dalam PKR, Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali yang juga ketua editor Suara Keadilan; penerbit akhbar berkenaan, Pelita Koridor Sdn Bhd dan pencetak Suara Keadilan, Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zambry berkata, artikel yang disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan edisi 29 Disember 2009 hingga 5 Januari 2010, bertajuk "Zambry Disyaki Pengganas - Gagal masuk ke Amerika Syarikat" mengandungi perkataan berunsur fitnah yang palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan berniat jahat.

Menteri Besar Perak itu berkata, perkataan berunsur fitnah itu telah melukakan perasaannya dengan begitu mendalam, mencemarkan dengan teruk reputasi awam, peribadi dan politiknya serta membawa kepada skandal awam, kebencian dan penghinaan.

Beliau menuntut ganti rugi RM100 juta, termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, faedah lapan peratus setahun dan juga injunksi bagi menghalang defendan daripada menyiarkan perkataan berunsur fitnah itu atau sebarang perkataan berunsur fitnah yang serupa terhadapnya.
Defendan, dalam pernyataan pembelaan mereka, menyatakan bahawa permohonan maaf bertajuk “Mohon Maaf Dr Zambry” dan penarikan balik artikel telah disiarkan dalam akhbar parti keluaran 30 Mac hingga 6 April 2010