Sunday, November 21, 2010

Perumahan Rumah Kos Sederhana Rendah (RKSR) Telaga Mas membantu generasi kedua memiliki rumah sendiri


Oleh Mohd Zawawi Mat Ail

                                                               Zakaria Abdullah
                                                                   Ali Mohamad
 Ali menunjukkan tapak pembinaan projek Rumah Mampu Milik di Telaga Mas yang bakal dimiliki penduduk tempatan generasi kedua

Paka:   Seramai 290 buah keluarga generasi kedua penduduk Paka akan mendapat manfaat dengan terlaksana projek rumah mampu milik yang mengandungi 290 unit rumah Rumah Kos Sederhana Rendah (RKSR) Telaga Mas yang sudahpun memulakan operasi pembinaan akhir 2009 lalu dan dijangka siap pada awal 2011.
                Tinjauan Edisi Timur di lokasi pembinaan mendapati kerja meratakan tanah untuk tapak rumah kos sederhana rendah tanah seluas 30 hektar tersebut sudah siapdan kerja pembinan tapak sedang rancak dijalankan pemaju.
                 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telaga Mas, Ali Mohamad, berkata, perumahan rumah  kos sederhana rendah yang dijangka siap pada akhir tahun ini akan menyelesai kesulitan yang dihadapi sebahagian golongan generasi kedua yang tidak memiliki tanah untuk mendirikan rumah sendiri.
                “Dengan terbinanya perumahan di kawasan baru ini, ianya menjadi pencetus kepada pembangunan yang bakal dibangunkan bagi kemudahan penduduk-penduduk di kawasan itu nanti.   
                “Saya difahamkan sebuah sekolah akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bersebelahan tapak perumahan tersebut.
                Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Zakaria Abdullah, berkata, perumahan yang dibina di bawah projek rumah mampu milik ini berada di kedudukan yang lebih strategik berbanding perumahan di Paka yang yang kebanyakannya berhadapan dengan masalah banjir setiap kali musim monsun tiba.
                “Pembinaan Perumahan Rumah Kos Sederhana Rendah ini dibangunkan khusus untuk membantu golongan generasi kedua di daerah Paka memiliki rumah sendiri dan  ditawarkan dengan harga yang lebih murah dengan keutamaan diberikan kepada golongan yang kurang mampu dan tidak mampu membeli rumah dengan harga pasaran semasa yang tinggi sebagaimana yang ditawarkan pemaju pada harga pasaran terbuka.
                “Kita berharap lebih ramai golongan kurang mampu Berjaya memiliki rumah sendiri dengan terlaksana projek perumahan sebegini pada masa yang akan datang.
                Bakar Hamid, 40, berkata, pihak kerajaan negeri melalui pemimpin tempatan membangunkan perumahan di kampung telaga mas suatu keputusan yang tepat memandangkan ramai golongan generasi ke dua di Paka yang tidak mampu membina rumah disebabkan tidak mempunyai tanah sendiri dan tidak berkemampuan dari segi kewangan.
                “Kos pembinaan rumah sekarang ini tinggi menyebabkan sebilangan besar golongan generasi ke dua tidak mampu membina rumah sendiri dan tiada pilihan lain selain daripada terpaksa menyewa rumah walaupun berpuluh tahun lamanya.
               “Kebanyakan golongan berpendapatan rendah seperti saya yang bekerja sebagai buruh binaan hanya mampu menyewa rumah kecil sahaja walaupun mempunyai bilangan anak yang ramai kerana kos sewa rumah di sekitar Paka lebih tinggi berbanding di daerah yang lain…
                “Dengan adanya lebih banyak perumahan-perumahan kos rendah dan sederhana dibina kerajaan di kawasan ini lebih ramai golongan generasi kedua berpeluang menikmati faedah pembangunan tersebut,” katanya yang sudah lebih sepuluh tahun menyewa rumah di Paka.
                Salim Sulaiman, 33, berkata, sebelum ini beliau sudah beberapa kali memohon bantuan perumahan namun seringkali ditolak permohonan disebabkan tidak mempunyai lot tanah untuk dibina rumah tersebut.
                Beliau berharap dengan terlaksananya projek Rumah Mampu Milik di Telaga Mas permohonan beliau untuk menjadi salah seorang daripada pembeli rumah kos sederhana rendah tersebut yang dikatakan boleh dilunasi secara beransur-ansur dan ditawar dengan harga yang lebih rendah berbanding harga yang ditawarkan pemaju dalam pasaran biasa.
                Penduduk Telaga Mas, Mustakim Nordin, 47,  berkata terdapat beberapa rumah di kawasan sekitar kampung tersebut dibina separuh jalan sahaja disebabkan pemilik tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk menyiapkannya.
                “Banyak rumah terbengkalai di kawasan ini kerana pemilik tidak mampu membayar kos bahan binaan dan upah yang melambung tinggi, mahu tidak mahu pembinaan terpaksa dihentikan dan rumah terbengkalai sehingga bertahun-tahun lamanya hinggakan ditumbuhi semak samun dan sebagainya.
                “Pihak kerajaan perlu memandang serius permasalahan ini dan mengambil jalan penyelesaian bagi membantu golongan generasi kedua memiliki rumah sendiri melalui cara memperbanyakkan lagi projek-projek pembangunan rumah kos sederhana dan rendah.