Sunday, November 21, 2010

Hutan Lipur Rantau Abang terabai

Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
Dungun:   Hutan Lipur Rantau Abang yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk memancing ikan air tawar dan menjadi salah satu lokasi tapak perkhemahan kini terabai manakala kemudahan yang ada tidak diselenggara dengan baik.
                Tinjauan Edisi Timur di Taman Lipur Rantau Abang yang mempunyai beberapa buah kolam memancing semalam mendapati orang ramai masih berkunjung dan memancing walaupun tempat tersebut tidak terurus dengan pokok-poko tumbang ke dalam kolam dan merosakkan laluan tidak dibersihakan dan sampah sarap di buang pengunjung di merata tempat sekitar kolam tersebut.
                Pengunjung yang ditemui merungut pihak berwajib seolah mengabaikan keselamatan pengunjung dengan membiarkan lantai yang patah kerana reput dibiarkan tidak berganti menyebabkan jejantas berlubang . membahayakan pengunjung yang datang memancing dan orang ramai yang berkunjung ke hutan lipur berkenaan.
                Salah seorang pengunjung yang datang memancing bersama keluarga, Hisyamudin Hussin, 40, berkata, beliau selalu berkunjung bersama-sama keluarga di hari hujung minggu berehat dan menenangkan fikiran jauh daripada kesibukan kota sambil memancing di hutan lipur tersebut namun kesal dengan keadaan hutan lipur tersebut yang tidak diselenggara dengan baik.
                “Kebanyakan pengunjung yang berkunjung terdiri daripada kaki-kaki pancing disebabkan kolam-kolam di sini terdapat banyak ikan dari jenis air tawar yang diantaranya haruan, sepat dan sepeis ikan air tawar yang lain yang susah dijumpai di tempat lain.
“Saya tidak pernah pulang dengan tangan kosong setiap kali datang memancing di sini tetapi apa yang lebih penting saya tidak perlu pergi jauh mencari tempat memancing ikan air tawar bersama keluarga.
“Setelah membelanjakan peruntukan yang besar untuk membangunkan hutan lipur ini terutama sekali membuat kolam-kolam, membina jejantas merentasi kolam-kolam, pembinaan wakaf berehat dan lain-lain pembinaan adalah satu kerugian yang besar kepada kerajaan dan masyarakat sendiri.
Seorang kakitangan kerajaan, Salmah Harun, 46, berkata adalah tidak wajar kawasan hutan lipur yang menjadi kunjungan orang ramai di hujung minggu itu tidak diselenggara dengan baik memandangkan lokasi tersebut sudah dikenali orang ramai sebagai tempat memancing ikan air tawar di daerah Dungun.
“Saya bimbang anak-anak terjatuh ke dalam kolam kerana lantai jejantas yang patah tidak diganti menyebabkan lantai berlubang di sana sini manakala sebahagian lagi sudah mulai reput dan membahayakan keselamatan pengunjung yang melaluinya terutama sekali kepada kanak-kanak.
Lim Ah Cheng, 40, pula berkata, sikap orang ramai yang tidak menjaga kebersihan kawasan rekreasi tersebut dengan mengambil jalan mudah membiarkan sahaja botol-botol minuman, bekas-bekas makanan dan plastik bertaburan di atas wakaf istirehat dan di atas jejantas kolam  menyebabkan kawasan tersebut dikotori sampah sarap.
Apa yang lebih menyedihkan ada di antara pengunjung tergamak membuang bekas-bekas makanan dan minuman ke dalam kolam memancing.
“Saya yang berang setelah beberapa kali mata pancing tersangkut pada sampah yang mendap di dasar kolam  menegur pengunjung yang meninggalkan bekas makanan di atas wakaf namun tidak diendahan.
“Pihak bertanggungjawab perlu menyediakan tong sampah di setiap wakaf bagi mengelakkan orang ramai membiarkan sampah diatas wakaf kerana tong sampah hanya disediakan berhampiran jalan sahaja.
“Papan tanda amaran melarang pengunjung membuang sampah dan meenjaga kebersihan perlu dipasang bagi memberi peringatan kepada pengunjung daripada membuang sampah sesuka hati.
Seorang peniaga gerai makan di simpang masuk ke Hutan Lipur berkenaan Hashimah Hussin, 39, berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengadakan program bagi mempromosikan tempat rekreasi tersebut bagi menarik lebih ramai pengunjung.
                Beliau percaya lokasi tersebut berpotensi tinggi menjadi tumpuan pemancing dan orang ramai yang ingin bersantai jika pihak berwajib membaiki kekurangan yang ada dengan menaik taraf jalan yang sedia ada yang tidak berturap, menyediakan tandas awam dan sebagainya.      
                “Dengan adanya promosi lebih ramai lebih ramai kaki pancing dan orang awam berkunjung ke tempat tersebut yang mempunyai daya tarikan tersendiri kerana mempunyai kolam yang kaya dengan sepsis ikan air tawar, kaya dengan hutan yang masih terpelihara dan sesuai dijadikan tapak perkhemahan.